Surah Al-Baqara
Kami
berfirman lagi: Turunlah kamu semuanya dari Syurga itu! Kemudian jika
datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab
yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu
itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik)
terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (38) Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. (39) Wahai
Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan
kepada kamu dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku
sempurnakan perjanjianKu dengan kamu dan kepada Akulah sahaja hendaklah
kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain). (40) Dan
berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang
mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu dan janganlah kamu menjadi
orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia dan janganlah pula
kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli
kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya dan kepada Akulah sahaja
hendaklah kamu bertakwa. (41) Dan
janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu
sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. (42) Dan
dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah
kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. (43) Patutkah
kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan
diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu
berakal? (44) Dan
mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan
sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada
orang-orang yang khusyuk. (45) (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya. (46) Wahai
Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan
kepada kamu dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan
(nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada
zamannya). (47) Dan
peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya
seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun
(dari balasan azab) dan tidak diterima syafaat daripadanya dan tidak
pula diambil daripadanya sebarang tebusan dan mereka (yang bersalah itu)
tidak akan diberi sebarang pertolongan. (48)
No comments:
Post a Comment